Semua makhluk ciptaan Tuhan memerlukan komunikasi sepanjang hidup mereka. Kita tidak boleh tidak berkomunikasi. Manusia perlu berkomunikasi dalam kehidupan sehari-hari mereka bagi memudahkan sebarang urusan. Waima haiwan dan tumbuhan pun berinteraksi bagi meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini. Komunikasi mengandungi isu dan hubungan. Keadaan hubungan ini bergantung kepada bagaimana setiap pihak menandakan rangkaian komunikasi mereka. Dari komunikasi inilah akan lahirnya sebuah perhubungan antara dua individu yang mencapai persefahaman, tetapi tidak semestinya persetujuan. Pembentukan hubungan itu merangkumi hubungan lain terhadap persahabatan, percintaan, kekeluargaan dan lain-lain. Walau bagaimanapun bukan sesuatu perkara yang mudah untuk memulakan suatu hubungan itu kerana memerlukan persefahaman antara dua pihak yang terlibat. Jika tiada persefahaman sesuatu hubungan itu tidak akan dapat berlangsung.
Kata-kata hikmah:
”Sebenarnya semua orang adalah kawan kita, tetapi yang kita tidak berkawan itu kerana
”Sebenarnya semua orang adalah kawan kita, tetapi yang kita tidak berkawan itu kerana
kita tidak bermula untuk berkawan dengan orang itu.”
Asas pembinaan sesuatu hubungan itu adalah bermula dengan persepsi kita terhadap orang lain yang membuatkan kita bersetuju berakrab dengannya dan persepsi orang terhadap kita. Persetujuan antara kita dengan seseorang itu wujud secara semula jadi dan menjadikan satu perhubungan yang akrab. Selain itu, kita perlu menerima secara menyeluruh semua sifat dan tingkah laku antara individu yang berhubungan ini. Jika tidak, suatu perhubungan yang akrab sukar untuk terjalin, namun untuk menjadikan seseorang itu sebagai kenalan biasa itu adalah tidak mustahil berlaku atau sebaliknya. Asas kepada terbinanya hubungan juga adalah adanya kongsi kuasa dengan teman akrab iaitu dengan cara bertolak-ansur. Tidak mungkin sebuah persahabatan itu akan kekal lama jika salah seorang tidak mahu menerima pandangan sahabatnya menyebabkan timbulnya ketidak-serasian dan tiada tolak ansur. Maka, perlu adanya tolak ansur dan saling menerima dan memberi pandangan dalam perhubungan itu.
Manusia bersahabat untuk menjadikan kehidupannya lebih terisi. Dalam hal ini, jika manusia itu hidup bersendirian, maka kita dapat melihat bahawa manusia yang bersendirian itu tidak memiliki kehidupan yang sempurna. Manusia seperti ini terkurung dalam dunianya sendiri sehingga tidak menghiraukan apa yang berlaku disekelilingnya. Mereka ini lebih cenderung bersikap pentingkan diri sendiri. Maka, orang jenis ini kotak fikirannya tertutup dan tidak berkembang. Hal ini kerana, mereka tidak mempunyai seseorang untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan.
[1]Persahabatan atau pertemanan adalah istilah yang menggambarkan perilaku kerjasama dan saling mendukung antara dua atau lebih entiti sosial. Dalam pengertian ini, istilah "persahabatan" menggambarkan suatu hubungan yang melibatkan pengetahuan, penghargaan dan afektif. Sahabat akan menerima kehadiran sesamanya dan menunjukkan kesetiaan antara satu sama lain, hingga pada tahap altruisme. Kesukaan, kegemaran dan selera mereka biasanya serupa dan mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang mereka sukai bersama-sama. Mereka juga akan saling tolong-menolong apabila salah seorang daripadanya mengalami masalah atau kesulitan, dan saling bertukar-tukar pendapat dan nasihat. Sahabat adalah orang yang memperlihatkan perilaku yang berbalasan dan reflektif. Apabila bersahabat, yang paling penting adalah kepercayaan dan kejujuran, empati, dan penerimaan tanpa syarat agar perhubungan itu berkekalan.
Janganlah kita memandang rendah erti persahabatan, kerana dalam hidup ini kita tidak mampu melangkah seorang diri tanpa seorang sahabat. Sahabat merupakan individu penting yang paling akrab dengan kita. Walhal, pasangan yang sudah bergelar suami isteri pun akan mencari sahabat untuk meluahkan perasaan dan meminta pandangan serta nasihat. Sahabat merupakan individu yang mampu mempengaruhi kehidupan seseorang itu. Hal ini kerana, penagruh sahabat terhadap diri kita itu sangat besar. Jika kita salah memlih sahabat maka, tidak hairanlah kehidupan kita akan menjadi kucar-kacir. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa hubungan antara dua orang individu mampu membuahkan hasil yang hebat.
Kita boleh melihat hubungan persahabatan ini melalui analogi sepohon pokok bunga. Bayangkan sepohon pokok bunga tahi ayam, pada pandangan memang cantik namun berbau busuk. Oleh itu, dibuat kacukan bungan tahi ayam ini dengan bunga yang berbau harum, lalu terhasillah sepohon pokok yang baru yang berbunga cantik dan berbau harum (sekadar andaiaan penulis sahaja). Atau sebuah analogi lagi iaitu mengenai buah durian. Seperti yang kita maklum, durian ada banyak jenis. Ada isinya enak dimakan dan ada juga isinya yang tidak enak dimakan malah berbau busuk. Maka, bagi menjadikan buah yang tidak enak itu sedap dimakan maka dibuat kacukan pembiakan agar terhasilnya buah durian yang kurang bau dan sedap dimakan. Begitu jugalah dengan seorang manusia yang memerlukan seorang sahabat disamping mereka untuk menjadikan diri mereka lebih maju dan gabungan antara dua orang yang akrab ini akan melahirkan potensi yang hebat. Malah, carilah sahabat yang boleh membawa kita kepada kejayaan, bukannya kehancuran. Saya memetik satu kata-kata hikmah yang mengatakan,
”Bersahabatlah dengan penjual minyak wangi kerana wangiannya akan terpalit pada kita, dan janganlah bersahabat dengan penjual daging kerana bau busuk itu akan terpalit sama.”
Persahabatan yang begitu erat punya pengertian yang dalam bagi kita yang menghargainya. Dua sahabat yang sejati akan selari dalam apa jua bidang yang diceburi, dan saling memahami antara mereka. Namun, rasa hormat tidak selalu membawa kepada persahabatan kerana rasa hormat itu akan membataskan kita untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara terbuka dan selesa denganya. Terlalu sukar menjalin persahabatan kerana ia adalah pertautan hati bukan pertautan fikiran, lebih-lebih lagi bukan hubungan kebendaan semata. Oleh itu, harga minimum sebuah persahabatan ialah kita berbaik sangka dengannya dan nilai tertinggi persahabatan ialah mengutamakan sahabat lebih dari diri kita sendiri.
”Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari”. - (Saidina Ali r.a)
Setiap manusia yang lahir di dunia ini mempunyai akal dan fikiran. Akal membezakan manusia dengan benda hidup yang lain dan akal jugalah yang membezakan antara manusia yang cerdik dan manusia yang bodoh. Sebab itu ada pengklafikasian manusia yang berakal dan tidak berakal. Manusia yang dikatakan tidak berakal itu sebenarnya bukanlah tidak memiliki akal, namun mereka tidak menggunakan anugerah yang dikurniakan itu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Hal ini kerana mereka hanya berpandukan nafsu dan tidak menggunakan akal ketika melakukan sesuatu perkara itu. Perbezaan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal terletak pada rohaninya dan apa yang dapat difikirkan menentukan apa yang akan dicapai. Sebab itulah tidak ada siapa yang paling pandai dan paling bodoh di dunia ini kerana setiap yang pandai itu boleh menjadi bodoh dan setiap yang bodoh itu boleh menjadi pandai. Ada kata-kata hikmah yang mengatakan,
"Kekayaan yang paling kaya ialah akal, kemiskinan yang paling besar ialah bodoh, keburukan yang paling buruk ialah terpesona pada diri sendiri, dan semulia-mulia kelakuan ialah akhlak yang baik".
Maka jelas di sini akal merupakan pengemudi kita dalam melakukan apa-apa perkara sekalipun.
Selain itu, yang membezakan antara individu dengan individu yang lain selain dari paras rupa dan keturunan, adalah dari segi tahap pemikirannya. Ada yang memiliki tahap pemikiran yang tinggi, tahap pemikiran yang sederhana dan ada yang mempunyai tahap pemikiran yang lemah. Tahap pemikiran seseorang indidvidu ini pada pendapat saya sebenarnya bergantung kepada bagaimana seseorang itu mahu berfikir dan mahu berjaya. Orang yang malas berfikir ini merupakan orang yang tidak mahu berjaya. Oleh sebab itu, orang yang malas berfikir ini lama-kelamaan kebijaksanaannya akan hilang. Namun, walaupun memiliki akal fikiran yang berbeza, setiap individu ini memerlukan seseorang sebagai rakan atau sahabat disampingnya. Jika seseorang itu tidak mempunyai seorang pun teman, ia akan digelar sebagai kera sumbang kerana tidak bergaul dengan kelompok sosialnya. Dan orang yang suka bersendirian ini mungkin mengalami masalah dalaman jiwa atau mempunyai sikap tidak mempercayai orang lain.
Kata-kata hikmah:
”Kebijaksanaan menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan tetapi jika disalahgunakan akan mewujudkan penderitaan”.
Dalam membina sesuatu hubungan, perkara yang perlu diambil kira adalah kebijaksanaan. Kebijaksanaan di sini bukannya bermaksud seseorang itu seorang yang cerdik pandai dan berpelajaran tinggi. Cukuplah sekadar bijak membuat keputusan dan bijak dalam menangani sesuatu masalah dengan menggunakan akal. Jika semua orang hanya ingin mencari sahabat yang bijak dan cerdik pandai sahaja, bagaimana pula dengan individu yang tidak berpeluang untuk belajar di peringkat tinggi? Apabila kita bersahabat dengan orang yang bijak, sedikit sebanyak kebijaksanaannya akan terbias kepada kita juga. Hal ini kerana, kita akan mendapat satu motivasi untuk diri sendiri untuk menjadi bijak dan berjaya seperti sahabat kita. Dalam hal ini, hubungan kita dengan sahabat itu akan dapat meningkatkan lagi potensi diri yang kita ada. Dalam pembincangan ini kita ingin melihat bagaimana hubungan baik antara dua individu yang bijak akan melahirkan potensi yang hebat. Hal ini kerana, setiap orang mempunyai potensi dirinya tersendiri.
Selain itu, sahabat yang bijak akan mendorong sahabatnya untuk maju dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Hubungan baik antara dua orang individu yang bijaksana akan melahirkan potensi yang hebat melalui perbezaan yang dimiliki antara keduanya. Tidak ada satu orang manusia pun yang memiliki persamaan dalam sesuatu hal. Jika ada pun, tidak semua hal yang mereka ada dan lakukan itu memiliki persamaan seratus peratus kerana setiap orang itu mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza dan memiliki kelebihan tertentu dalam diri masing-masing. Dari perbezaan ini, apabila mereka melakukan sesuatu perkara atau perkerjaan itu bersama-sama, maka buah fikiran yang diberikan oleh kedua-dua individu ini pastinya akan membuahkan sesuatu yang pastinya lebih hebat berbanding pekerjaan itu dilakukan seorang. Misalnya dalam bidang seni suara iaitu nyanyian, dua orang individu yang bersahabat ini akan saling melengkapi kekurangan dan kelebihan yang mereka ada. Jika seorang memiliki suara yang bernada tinggi, manakala seorang itu dapat menyanyikan lagu bernada rendah, maka bila mereka berdua berpadu suara maka, suatu nyanyian yang harmoni akan terhasil.
Oleh itu, orang yang bijak akan mencari seorang sahabat sebagai tempat untuk meluahkan perasaan, bertukar-tukar pendapat, melakukan perkara-perkara yang lazimnya dilakukan oleh seorang sahabat. Dalam hal ini, apabila dua orang individu yang bijak bersahabat, maka gabungan dua intelek ini akan mencetuskan sesuatu di luar jangkaan yang akan memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Keuntungan yang dimaksudkan ialah, kedua-dua individu ini akan mendapat lebih faedah dan hasil daripada apa yang mereka lakukan itu. Kerjasama antara dua individu yang bijak ini akan melahirkan potensi yang hebat. Sebagai contoh, si A lebih pakar dalam bidang perniagaan, manakala si B lebih pakar dalam bidang pembuatan kraftangan. Maka, apabila digabungkan kepakaran mereka ini, maka hasilnya adalah keuntungan bagi kedua-dua belah pihak. Hal ini kerana, Si A yang pakar dalam perniagaan ini boleh membantu Si B dalam memasarkan produk yang dihasilkan ini. Jika pada awalnya Si B hanya menggunakan kepakaran yang dia ada hanya sekadar untuk mengisi masa lapang, namun selepas bersahabat dengan Si A, mereka menjadi rakan kongsi. Di mana Si A bertanggungjawab dalam hal-hal pemasaran, manakala si B dalam hal-hal menghasilkan produk. Maka, mereka mempunyai potensi yang besar untuk maju setapak lagi dalam mencorakkan masa depan mereka.
Hal ini juga dapat dilihat pada pembuatan sebuah kerusi. Misalnya, sang A pandai dalam membuat kerusi, manakala sang B pula pakar dalam seni ukiran. Maka, apabila digabungkan kepakaran mereka ini, akan terhasillah sebuah kerusi yang cantik. Apabila dua orang individu melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan itu bersama-sama, maka akan wujudnya kerjasama antara individu terbabit. Pekerjaan yang dilakukan oleh dua orang akan memberikan impak yang lebih baik berbanding denga melakukan sesuatu pekerjaan itu seorang diri.
Orang yang bijak melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak bijak menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya. Setiap orang mempunyai potensi dirinya yang berbeza dengan individu yang lain.
[2]Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang mengenal dirinya ia mengenal Tuhannya.”
“Barangsiapa yang mengenal dirinya ia mengenal Tuhannya.”
Diri adalah potensi mulia yang dikurniakan oleh Allah swt kepada manusia makhluk yang paling mulia. Manusia memiliki tiga potensi iaitu, potensi fikir (daya penyeimbang), potensi syahwat (daya tarik), dan potensi marah (daya tolak). Potensi fikir membuahkan sifat kebijaksanaan, kelicikan, dan kebodohan. Potensi syahwat membuahkan, sifat kesucian, kerakusan, dan kestatikan. Potensi marah membuahkan sifat keberanian, kekasaran, dan pengecut. Kebijaksanaan, kesucian dan keberanian membuahkan keadilan. Kelicikan, kerakusan, dan kekasaran membuahkan Penindasan. Kebodohan, kestatikan, dan pengecut membuahkan ketertindasan. Manusia yang menggunakan potensinya sesuai dengan yang diinginkan oleh Penciptanya, ia akan mendapatkan penyelesaiaan dalam setiap masalah, menggapai kejayaan dan kebahagian bahkan mendapat rezeki yang tak terduga.
Oleh itu, potensi yang berbeza yang dimiliki oleh kedua-dua individu yang mempunyai hubungan akan dapat dikembangkan. Hal ini kerana, apabila dua orang individu ini bekerjasama maka, masing-masing akan cuba untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan sehabis baik dan akan menonjolkan kelebihan yang ada pada diri masing-masing. Oleh itu, hubungan antara dua individu yang akrab boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan kepada apa yang mereka usahakan itu.
Walau bagaimanapun, dalam sesuatu hubungan pastinya ada konflik yang berlaku. Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi hubungan antara dua orang individu ini. Konflik adalah sesuatu yang biasa terjadi kepada dua orang yang berbeza keperibadian dan latar belakang bersatu dalam sebuah hubungan. Perbezaan pendapat dan perselisihan faham berkemungkinan besar menghasilkan konflik. Setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza. Oleh sebab itulah konflik ini terjadi.
Namun, orang yang bijak akan menjadikan konflik ini sebagai salah satu langkah untuk memperbaiki diri. Konflik akan memberikan kesan positif jika kita mananganinya dengan cara-cara yang positif dan akan berlaku sebaliknya jika tidak ditanganinya dengan cara-cara positif. Malah, hubungan yang sedia keruh akan menghampiri kemusnahan. Sebenarnya dari konflik inilah baru kita tahu akan kelemahan dan kekurangan yang kita ada dan kelemahan dan kekurangan orang lain. Lantaran itu, kedua-dua individu yang berhubungan ini perlu mengambil peluang dari konflik yang berlaku untuk memperbaiki diri mereka dan hubungan itu ke arah yang lebih baik. Adalah tidak mustahil jika dari konflik itu akan membina sesuatu pekerjaan yang mereka usahakan itu menjadi lebih hebat. Hal ini kerana, apabila berlakunya konflik akan terselahlah kekurangan dan kita telah mendapat sesuatu yang positif dari konflik yang berlaku ini.
Kesimpulannya, setiap manusia memerlukan seorang individu lain di samping mereka. Individu inilah yang akan mencorakkan bagaimana cara hidup kita kelak. Jika, kita bersahabat dengan orang yang bijak, maka adalah tidak mustahil kita juga menjdi bijak sepertinya. Apabila dua orang individu yang bijak ini melakukan sesuatu pekerjaan itu bersama-sama, potensi untuk mendapat hasil yang hebat dari pekerjaan yang mereka lakukan itu adalah tinggi. Oleh itu, bersahabatlah dengan orang yang bijak kerana ia dapat meningkatkan potensi yang ada dalam diri kita. Bahkan, hasil hubungan antara dua individu yang bijak akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak dan dapat meningkatkan prestasi dan potensi yang ada pada kedua-dua orang tersebut.
”Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang”. - (Cecil B. DeMille)
________________________________________________________________
RUJUKAN
http://syamsuri149.wordpress.com/2008/02/18/mengenal-potensi-diri-kunci-kesuksesan/
http://id.wikipedia.org/wiki/persahabatan
http://www.sepaku.net/persahabatan
http://www.familiazam.com/htm
http://komunikasiminda.blogspot.com/2006/04/komunikasi-interpersonal.html
[1] http:id.wikipedia.org/wiki/persahabatan
[2]http://syamsuri149.wordpress.com/2008/02/18/mengenal-potensi-diri-kunci-kesuksesan/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan